Umum pasti tahu bahawa hartanah adalah antara harta yang tidak mengalami susut nilai pasaran. Ini kerana tanah adalah antara aset kekal yang tidak boleh 'dialihkan' atau 'digerakkan', di mana ia akan terus di situ, tidak kira lah pembangunan bertambah atau tidak, ia tetap di situ. Tambahan lagi dengan pembangunan dan kemajuan yang semakin bercambah, memungkinkan ruang bertanah semakin dipenuhi, dan kerana ruang tanah di mukabumi ini tidak boleh ditambah sesuka hati, maka ianya akan menjadi terhad; dan apabila ianya terhad, permintaan bertambah, maka harganya akan meningkat dan melonjak tinggi! Walau mungkin ada yang mengatakan "harga tanah" akan merundum jatuh apabila tempat tersebut dilanda bencana alam, sama ada kerap mahupun tidak. Tetapi pada pandangan saya, tanggapan begitu boleh dikatakan tidak terlalu tepat! Pada pandangan saya, yang merundum jatuh harganya itu bukan lah harga tanah tersebut (harga pada fizikal tanah tersebut), tetapi lebih kepada "nilai komersil" yang ada pada 'binaan' atau 'output' yang terdapat atas tanah tersebut. Hakikatnya tetap sama, nilai tanah tersebut tetap bernilai tinggi!
Nilai komersil yang saya maksudkan di sini adalah nilainya pada tahap aktiviti komersil yang dijalankan pada tanah tersebut. Apakah maksudnya? Baiklah, dengan kata mudahnya begini:- Contoh yang saya boleh berikan adalah harga rumah di atas sebidang tanah. Jika berlaku sesuatu bencana seperti "bencana tanah runtuh" misal kata. Pastinya ramai yang memberi tanggapan bahawa harga rumah tersebut akan jatuh, kerana bakal pembeli pasti gusar untuk mendiami rumah tersebut, kerana bimbangkan risiko tanah runtuh tersebut akan menyebabkan kehilangan nyawa mahupun kerosakan harta. Jadinya di sini, yang sebenarnya menurun atau merundum itu adalah harga rumah tersebut yang dibina di atas tanah tersebut. Nampak tak? Apa yang dikatakan merundum itu adalah nilai komersil pada apa-apa yang diusahakan di atas tanah tersebut; dan BUKAN nilai tanah tersebut - Nilai tanah tersebut masih sama. Kerana apa saya katakan begitu? Jikalau misal kata tidak dibina pun rumah atau kediaman di atas tanah tersebut, masih ada banyak lagi perkara lain yang boleh diusahakan di sana, yang mungkin akan meninggikan lagi nilai komersil ke atas tanah tersebut. Apa yang boleh diusahakan di situ, itu adalah terpulang pada kreativiti anda sebagai usahawan mahupun hartawan. Bayangkan tanah di kawasan gunung berapi yang masih aktif pun boleh menjadi antara kawasan yang mempunyai nilai yang sangat tinggi, terutama jika ianya berada di dalam 'atmosfera' industri pelancongan.
Trivia: Antara yang tinggi nilainya adalah Tanah Rizab Melayu, tanah di tepi pantai, tanah di kawasan tanah tinggi, tanah berhampiran aktiviti pelancongan seperti Pesta Air, dan tanah berhampiran bandar.
Nilai hartanah ini boleh dikatakan antara pelaburan yang melibatkan wang, yang paling mudah, paling efisien, paling stabil, paling kurang berisiko, dan yang penting, ia adalah pelaburan fizikal yang sangat jelas! Anda hanya perlu menjadi seorang yang berani untuk melaburkan wang, kreatif dalam merancang strategi, dan juga inovatif dalam mengusahakannya agar anda menjadi 'yang pertama' dalam bidang tersebut!
Sebab tu saya sangat kagum dengan nama-nama hebat dalam industri ini seperti GL*M*C (iklan ini tidak dibayar mahupun ditaja). Kerana apa? Kerana, lihat sahaja kebanyakan 'property' yang mereka usahakan; entah di ceruk mana, kawasan pedalaman yang pada awalnya tiada siapa jangka ada manusia sudi mendiami kawasan itu, kawasan bekas tinggalan estet, dan sebagainya -- Semuanya kini menjadi antara 'property' yang sangat tinggi harganya! Dalam beberapa tahun sahaja, harga rumah di sana meningkat berganda! Itu lah keberanian yang saya maksudkan sebelum ni. Jadi, pilih sahaja mana kawasan yang anda rasa ada potensi mengikut perancangan anda, bina lah sesuatu di sana, dan pastikan usaha itu berterusan mengikut 'budget' anda. Jangan pula tiada perancangan. Berani sahaja tidak mencukupi, perancangan yang turut serta itu penting! Kalau anda rasa yang menaikkan harga rumah (misal kata) di situ adalah pusat komersil berhampiran seperti pasaraya terkenal, maka anda lah yang patut menjadi orang pertama untuk membina pusat komersil tersebut! Rancanglah sebaiknya! Jika perlukan khidmat nasihat, ada beberapa rakan-rakan saya yang berada di dalam bidang guaman dan hartanah. Salam selasih.
Lebih dari 60% hartanah yang berjaya dibangunkan hari ini adalah berasal dari kawasan tanah yang dikatakan "tempat jin bertendang" dan harga hartanah-hartanah di sana kini menjadi antara yang tertinggi di Malaysia :)
Berikut, adalah contoh kawasan dan hartanah yang menarik untuk dibangunkan. Faktor tinjauan, antaranya adalah, kawasan bersekitarannya kini semakin pesat membangun, berhampiran kawasan bernilai komersil tinggi, berhampiran kawasan berkaitan perniagaan import-eksport, dan sebagainya.
Maklumat lanjut, boleh didapati di sini.