27 Aug 2011

Metafora di sebalik teriakan "Hooah!"

Jika anda meminati perkara-perkara berkaitan ketenteraan, atau sekurangnya pernah menonton cerita berkaitan ketenteraan, pastinya anda biasa mendengar laungan "Hooah!", "Oorah!", "Hoorah!", dan pelbagai lagi bunyian sedemikian, kan? Tahukah anda apa sebenarnya yang disebut? Tahukah anda apa sebenarnya kegunaan laungan ini? Sebenarnya terlalu banyak maksud dan intipati yang tersirat di sebalik laungan ini. Akan tetapi saya hanya nak kupas beberapa intipati yang biasa disebut dan diceritakan oleh mereka yang menggunakannya itu sendiri. Saya akan kupaskan mengikut sedikit kajian yang telah dibuat, juga melalui pertanyaan di dalam forum-forum para kolektor, dan juga dengan bertanya pada mereka yang berada di dalam "lapangan" itu sendiri. Laungan-laungan ini dipanggil sebagai "Teriakan Peperangan", "Ratapan Peperangan", "Laungan Peperangan", ataupun "Battle Cry".

Laungan begini boleh dikatakan dimulakan oleh pihak ketenteraan US di mana mereka menggunakannya sebagai "bahasa" perantaraan untuk mereka memberikan jawapan yang diperlukan dengan mudah, ringkas, cepat, dan difahami oleh semua yang terlibat. Ini sama keadaannya seperti perkataan "roger", "copy", dan sebagainya. Di dalam konteks ini, ramai juga yang menyatakan bahawa laungan "Hooah!" ini berasal dari singkatan HUA (H-U-A), yang bermaksud "Heard, Understood, Acknowledged" (Dengar, Faham, Terima/Akui); dan laungan "HUA!" ini "disedapkan" lagi agar kedengaran lebih "bersifat ketenteraan". Pun begitu, kenyataan ini hanya sekadar kenyataan sandaran dan sekadar penceritaan untuk memudahkan kefahaman. Pun begitu, apa pun asalnya, laungan ini bertujuan untuk menyatakan penerimaan kita terhadap mesej atau arahan yang disampaikan kepada kita. Boleh juga digunakan sebagai tanda "OK", "Betul", "Benar", "Diperakui", "Mari", "Mara", dan sebagainya. Pendek kata, hampir semuanya boleh disinonimkan dengan laungan ini, selagi maksudnya bukan menyatakan "Tidak" dan yang sejenis dengannya.

Di sini saya berminat untuk menyebut mengenai konteks penggunaan oleh Tentera US sahaja kerana laungan ini digunapakai dengan meluas di dalam Ketenteraan US; malahan turut dikatakan dimulakan oleh pihak Ketenteraan US itu sendiri. Pun begitu, terdapat juga beberapa pihak ketenteraan lain yang turut dikatakan melaungkannya (atau sekurangnya kedengaran "seakan" laungan tersebut), seperti contoh, Ketenteraan Kanada, Rusia, Turki (Uthmaniyah), dan sebagainya.

Di dalam Ketenteraan US, terdapat 3 perkataan yang paling kerap digunapakai iaitu "Hooah", "Oorah", dan juga "Hooyah". Masing-masing digunapakai secara berasingan antara tiap-tiap divisi mereka.

"Hooah" dikatakan digunapakai oleh pihak US Army sebagai tanda sokongan dan penerimaan terhadap arahan, cadangan, dan juga mesej yang disampaikan. Dikatakan bahawa pihak US Army paling kerap menggunakan laungan ini. Pun begitu, beberapa divisi dan unit di dalam US Air Force (USAF) turut menggunakan laungan ini; sama seperti pihak US Army.

"Oorah" atau "Oohrah" pula dikatakan digunapakai oleh pihak US Marine Corps (USMC) yang lebih menjurus kepada menunjukkan semangat berpasukan, kesungguhan dalam sesuatu perkara, tanda menyatakan rasa kesungguhan dan keterujaan, dan juga sebagai tanda sapaan. Penggunaan oleh pihak USMC lebih kepada "keseronokan", di mana kekerapan penggunaannya lebih kepada menunjukkan tanda semangat, dan bukan hanya digunakan sebagai laungan di dalam peperangan.

"Hooyah" pula dikatakan digunapakai oleh US Navy (terutama sekali US Navy SEAL), pasukan EOD, dan juga Navy DSD (Penyelam Lautan Dalam). Di mana laungan ini juga digunapakai seperti laungan "Hooah" yang digunapakai oleh pihak US Army.

Maka laungan ini perlu diketahui bahawa ianya bukan sekadar laungan kosong, tetapi laungan "berisi" yang akan menaikkan semangat berpasukan dalam sesebuah ketenteraan. Tidak dinafikan mungkin laungan ini dilihat sekadar laungan santai, tetapi jika diketahui isinya, maka pastinya anda akan bersemangat melaungkannya. Sekian, terima kasih.
Fakta Menarik: Beberapa sumber mengatakan bahawa laungan ini juga turut diambil dan diadaptasi dari bahasa Turki "Vur Ha" yang bermaksud "Serang", "Hapuskan Mereka", dan sebagainya; yang mana turut dikatakan digunapakai oleh pihak Ketenteraan Turki Uthmaniyyah.