25 Mar 2011

Berniaga BUKAN sekadar bermodalkan wang

Saya tergerak untuk menulis mengenai perkara ini lepas saya dengar ceramah (saya ni baik juga rupanya) dalam IKIM.FM ketika saya memandu pulang ke rumah sebentar tadi. Dalam pada suasana sangat tegang dan tertekan dek kerana memandu dari pukul 6.15 petang dan tiba di rumah pada pukul 8.20 malam (yang mana selalunya perjalanan ini cuma mengambil masa antara 30-40 minit sahaja; dengan kelajuan yang munasabah ya tuan/puan), maka saya pun terlintas untuk membuka IKIM.FM (sebenarnya nak 'alert' untuk azan Isya' sebab saya tak solat Maghrib lagi ketika itu -- tak boleh berhenti kat mana-mana tempat solat sebab terperangkap dalam kesesakan lalulintas). Makanya saya pun mula mendengar isi-isi ceramah tersebut dengan hati terbuka.

Apa yang benar-benar menarik perhatian saya adalah mengenai isu Modal Dalam Perniagaan. Menurut penceramah, modal terbahagi kepada 2 iaitu modal fizikal dan juga modal spiritual. Modal fizikal tu tak perlu saya huraikan sebab rasanya semua pun tahu apa yang dimaksudkan. Tapi MODAL SPIRITUAL yang menjadi 'point' utama di sini, dan juga yang sangat menarik perhatian saya.

Modal Spiritual ini adalah modal di mana ramai usahawan tidak bersedia sepenuhnya malahan ada yang kecundang di tengah jalan. Isinya terlalu banyak untuk diceritakan, tapi saya permudahkan dengan beberapa perkara yang perlu diambiltahu. Modal ini lebih kepada emosi dan keutuhan azam dalam berniaga. Ramai yang mudah kecewa apabila jatuh sedikit di dalam arus perniagaannya, ramai juga yang hanya boleh dijatuhkan dengan mudah hanya dengan mendengar kata-kata sinis dari orang lain.

Jika kita nak berniaga, semua ini perlu juga diperkukuhkan terlebih dahulu sebelum memulakannya. Ambilkira pandangan orang lain sebagai pengajaran, dan buang tepi pandangan yang boleh menjatuhkan semangat kita. Apa nak peduli dengan kata-kata orang lain, lain orang lain caranya. Andaikata kita boleh berjaya dengan cara yang orang lain pandang rendah tadi, bukankah ianya lebih hebat jika kelak kita pula yang memberi ucapan semangat kepada usahawan-usahawan baru pada masa akan datang? Tak rasa malukah orang yang memandang rendah pada kita dahulu yang merasakan pandangan dan pengalaman dia adalah yang terhebat? Masing-masing ada ego masing-masing. Andaikata orang lain itu tidak mahu membantu, maka berdiam dirilah. Andaikata ingin membantu, maka bantu sahaja dan jangan merendahkan orang lain. Dalam masa sekarang ini, apa sahaja boleh dibuat berniaga. Dulu orang kata apa lah simpan barang-barang buruk yang sudah tidak boleh digunakan, tapi tengok je sekarang, barangan begitu dijual di pasar karat dengan harga yang sangat-sangat tinggi, dan yang penting, ada pembelinya! Cuba sahaja lihat di Amcorp Mall pada hari minggu, sangat menarik. Rajin-rajinkan diri anda menjenguk ke kedai-kedai dan perniagaan-perniagaan orang lain untuk mengumpul idea dan belajar dari mereka. Dengan cara ini, motivasi diri kita akan lebih kukuh.. dan inilah yang dikatakan persiapkan diri dengan modal spiritual.

Sekian sahaja, renung-renungkan dan jangan termenung (buang masa sahaja termenung, buka carboot sale lagi baik).

Salam mesra.