6 Sept 2011

"THE UNIT" -- Siri TV Wajib Tonton!

Saya ni memang agak obses (dibaca "obses", bukan "obese") dengan segala ceritera yang berkaitan ketenteraan dan taktikal; maka segala apa cerita yang menarik akan  saya ikuti sehingga segala isi terperincinya akan saya kupas sedikit demi sedikit. Apa boleh buat? Setiap orang ada kisahnya tersendiri, ya tak?

THE UNIT (selepas ini disebut sebagai "Siri Ini") ini adalah sebuah cerita yang diadaptasi dari karya Eric L. Haney yang bertajuk "Inside Delta Force"; yang digarap menjadi sebuah penceritaan melalui segugusan siri televisyen. Ditayangkan di CBS (Amerika Syarikat) bermula dari tahun 2006 sehingga tahun 2009 (kesemua 4 Musim). Siri ini berkisarkan mengenai unit Ketenteraan yang diklasifikasi sebagai "top secret", yang diadaptasi dari modul sebenar unit operasi khas US Army yang juga dikenali sebagai "Delta Force" (Special Forces). Untuk maklumat berkenaan Delta Force dan cara pengoperasian mereka, tidak akan saya kupaskan dalam entri kali ini, mungkin kemudian hari boleh dipertimbangkan. :)

Watak-watak utama dalam Siri TV ini adalah Jonas Blane, Bob Brown, Mack Gerhardt, Charles Grey, Thomas Ryan, Hector Williams, Bridget Sullivan, Sam McBride. Termasuklah juga watak tambahan yang agak penting dalam operasi mereka seperti Kayla Medawar, Sarah Irvine, Betsy Blane, dan sebagainya, selain dari ahli-ahli keluarga kepada watak-watak utama.

Siri ini sangat menarik perhatian saya kerana kisahnya tidak hanya berkisar mengenai misi-misi mereka sahaja, tetapi jua berkisar mengenai kehidupan harian mereka dan keluarga mereka; di mana ditempatkan di dalam sebuah "army post" yang dinamakan FORT GRIFFITH. Kisah ini berlokasi di Fort Griffith sehingga ke Musim Ke-4, Unit ini telah "terdedah" dan maklumat-maklumat rahsia mereka turut terjejas termasuklah maklumat berkenaan ahli keluarga mereka; dan kerana ini, kesemua mereka terpaksa dipindahkan ke lokasi tertentu di mana kesemua mereka terpaksa berselindung di sebalik "cover" dengan identiti baru untuk melengahkan masa, agar memberi masa yang lebih kepada Unit ini untuk selesaikan segala masalah yang bersangkutan ini.

Pelbagai suka-duka dilalui oleh mereka sepanjang 4 Musim ini; termasuk juga Unit mereka "diganggu" oleh pihak-pihak Kerajaan, dan Unit mereka termasuk segala operasi mereka terpaksa ditutup sepanjang kes disiasat. Kesemua ahli-ahli Unit juga turut diburu; dan ini memaksa mereka terpaksa meninggalkan keluarga mereka untuk bersembunyi di luar "jurisdiction" tertentu, sementara mereka mencari bukti-bukti kukuh untuk mengembalikan Unit mereka dan kembali beroperasi seperti biasa. Mereka juga kehilangan seorang anggota terbaik mereka iaitu Hector Williams a.k.a Hammer Head, akibat ditembak oleh "sniper" ketika misi menyelamat di Beirut. Pun begitu, di dalam Musim Ke-4, Unit mereka menerima beberapa orang ahli baru.

Andai anda benar-benar mengikutinya, anda akan dapati bahawa siri ini benar-benar mengikut spesifikasi sebenar US Army; seperti contoh uniform rasmi mereka -- perubahan mengikut tahun pengeluaran -- andai siri ini bermula tahun 2005, maka uniform yang mereka pakai juga ikut uniform yang wujud pada tahun itu. Menarik bukan? Pun begitu, spesifikasi teknikal dan perundangan yang telah digariskan oleh pihak Ketenteraan tetap perlu dipatuhi oleh setiap produksi filem mahupun siri televisyen seperti ini. Ada perkara yang tidak dibenarkan digunakan di dalam siri begini, tetap dipatuhi. Oleh itu, mungkin anda akan nampak sedikit kelainan pada perincian ciri-ciri yang ada pada uniform mereka.

Mereka juga turut menggunakan nama-nama panggilan atau "callsign" sebagai nama samaran yang digunakan di dalam semua misi-misi mereka. Antara contoh: Snake Doctor (Snake Doc), Dirt Diver, Betty Blue, Cool Breeze, Hammer Head, Dog Patch 06, Red Cap, Whiplash, Whipporwill, Dutchman, Blue Iguana, Hatchet, dan pelbagai lagi.

Walau ditayangkan di Amerika sana melalui CBS, ianya tidak menghalang saya untuk turut menontonnya. Puas saya mencari-cari yang asli di beberapa tempat, tetapi menemui kegagalan. Maka saya cuba mendapatkannya melalui eBay, dan hasilnya, saya mendapat koleksi lengkap siri ini untuk kesemua 4 season yang ada, sehingga takat tahun 2009. SAYA MASIH BERHARAP SIRI INI AKAN DISAMBUNG. :)


** Lagu Tema Siri "THE UNIT" **
"Fired Up, Feels Good!" oleh Robert Duncan yang diadaptasi dari sorakan US Marine Corps (USMC) yang digunapakai dari Musim Pertama sehingga Musim Ke-2

** Lagu Tema Siri "THE UNIT" **
"Walk The Fire" oleh Robert Duncan yang digunapakai dari Musim Ke-3 sehingga Musim Ke-4