22 Sept 2011

HUAWEI IDEOS X5 -- Siapa kata Telefon Bimbit dari China tak bagus?

Kali ini saya ingin mengetengahkan pula sebuah Telefon Bimbit Pintar keluaran Syarikat Huawei Technologies Co. Ltd.; salah satu dari syarikat terkenal dunia, yang berasal dari China. Telefon Bimbit Pintar ini diberi nama sebagai Huawei U8800 IDEOS X5 atau lebih mudah disebut Huawei Ideos X5 (selepas ini disebut "Ideos X5"). Setelah mencuba dan menggunakan Ideos X5 ini, saya merasakan ianya boleh dikatakan adalah pakej lengkap untuk sebuah Telefon Bimbit Pintar -- setanding dengan HTC, iPhone, BlackBerry, dan pelbagai lagi Telefon Bimbit Pintar yang lain. Pelbagai faktor lengkap terdapat pada Ideos X5 ini.

Pertama sekali, saya ingin ketengahkan Operating System (OS) untuk Ideos X5 ini. OS yang digunakan untuk menggerakkan dan mengoperasikan peranti ini, setakat ini, adalah Google Android versi 2.2 (Froyo); akan tetapi ramai pengedar-pengedar peranti ini turut memberikan servis menaiktaraf versi Android ini kepada versi 2.3 (Gingerbread). Pada saya, buat masa ini, OS ini sahaja sudah mencukupkan faktor keistimewaan Ideos X5 ini. Ini  kerana, pada masa kini, peranti yang menggunakan OS Android boleh dikira sebagai peranti paling popular digunapakai oleh orang ramai, di mana ianya fleksibel, mudahguna, ramah-pengguna, pantas, dan murah (terutama untuk penggunaan dan muat-turun aplikasinya).

Kedua, faktor skrin dan paparannya. Ideos X5 adalah sebuah peranti yang menggunakan skrin sesentuh yang sungguh sensitif dan peka pada sentuhan, di mana ianya memudahkan pergerakan dan penggunaan aplikasi dan segala fungsi yang ada pada peranti ini. Dengan berbekalkan paparan skrin 16M-colors, dengan resolusi 480 x 800 piksel, dan skrin yang bersaiz 3.8 inci ini, paparan kelihatan sungguh menarik dan pada saya, cukup luas untuk sebuah peranti poket begini. Ditambah pula dengan accelerometer-sensor yang memberikan fungsi auto-rotate apabila diubah dimensinya, dan juga proximity-sensor untuk mematikan peranti secara otomatik mahupun untuk meletakkan pada sleep-mode.

Ketiga, peranti ini turut dibina untuk menyokong capaian sehingga 3G, dan juga penggunaan internet tanpa wayar atau WiFi. Juga menyokong sambungan secara BlueTooth, dan USB (microUSB) 2.0. Selain itu, peranti ini turut terbina dengan capaian GPS dengan sambungan kepada capaian bersatelit (bukan hanya menggunakan sambungan internet sahaja, dan juga tidak perlu kepada peranti tambahan), A-GPS; dan jika GPS dikaitkan dengan penggunaan OS Android, maka pastinya perisian GPS yang popular seperti Papago terlintas di dalam fikiran ramai orang. Ya, peranti ini menyokong penggunaan perisian Papago sehingga yang terkini, iaitu X7 (setakat ini), di mana anda boleh menggunakan perisian ini tanpa perlu membayar apa-apa untuk menggunakannya kerana tiada sambungan pada internet diperlukan.

Keempat, faktor kamera dan hasil gambar yang ditangkap. Terbina dengan kamera dalaman dengan capaian sehingga 5 megapiksel, autofocus (AF), geo-tagging, dan juga dilengkapkan dengan LED flash yang cukup terang untuk tangkapan gambar pada suasana yang gelap. Saya juga telah mencuba sendiri kamera untuk peranti ini, dan saya sangat berpuas hati dengan hasilnya. Hasil gambarnya sungguh menarik untuk tangkapan menggunakan sebuah peranti telefon bimbit, terutama jika dibandingkan dengan hasil tangkapan gambar menggunakan peranti BlackBerry (sebab saya gunakan BlackBerry maka saya tahu lah betapa tak menariknya hasilnya berbanding Ideos X5 ini). Tidak lupa juga, kameranya boleh berfungsi sebagai kamera video dengan capaian sehingga 720p@30fps, dan juga boleh digunakan sebagai webcam.

Kelima, faktor berkaitan multimedia. Peranti ini boleh menyokong bunyian atau lagu-lagu yang berformat MP3, WMA, WAV, AAC, dan pelbagai lagi format biasa bunyian, dan juga menyokong video yang berformat MP4, WMV, AVI, H.263, H.264, 3GP, 3GPP, dan pelbagai lagi format video yang biasa disokong oleh beberapa peranti-peranti lain. Ini juga menjadi faktor yang menarik untuk peranti ini.

Faktor-faktor lain rasanya tidak perlu saya kupaskan buat masa ini kerana anda boleh cari sendiri dalam internet ini, atau pergi cuba sendiri di kedai-kedai telefon bimbit berhampiran. Tapi percaya lah, peranti ini sangat berbaloi untuk dibeli. Dengan rupa parasnya yang sungguh kacak dan bergaya, nipis, slim, dan paling penting, MODEN! Dan dengan semua fungsi dan rupa paras ini, anda boleh dapatkan dengan harga yang tidak cecah pun RM1,000.00!

Ya, memang Samsung pun ada jual peranti yang menggunakan Android dengan harga rendah di bawah RM1,000.00 macam ini, seperti Samsung Galaxy Ace, Galaxy Mini, tetapi saya dah buat perbandingan secara sentuh-sendiri dengan peranti-peranti Samsung ini, dan juga beberapa peranti lain termasuklah Sony Ericsson Xperia, saya dapati Ideos X5 lebih berbaloi untuk digunapakai. Perbandingan juga dibuat terhadap fungsi-fungsi dalaman dan penggunaan kamera. Kecuali, jika dibandingkan dengan peranti lain yang harga di atas RM1,000.00 seperti Samsung Galaxy S, peranti-peranti HTC yang menggunakan Android, iPhone 4, dan sebagainya yang canggih-manggih, mungkin Ideos X5 ini sedikit "tenggelam". Sebab itu harganya pun tidak mencecah RM1,000.00. Tetapi untuk perbandingan sesama kelasnya, Ideos X5 adalah antara yang terbaik dalam kelasnya!

Cuba lah. Salam Selasih :)

P/s: Boleh main ANGRY BIRDS gak! Hehehehe