25 Sept 2011

Jangan ambil mudah kegunaan RESCUE KNIFE!

Ramai tidak sedar akan hakikat sebenar mengenai keperluan mempunyai Rescue Knife berhampiran, terutama ketika di dalam keadaan kecemasan. Jangan kita pandang pada fungsi lainnya, dan betapa bahayanya ia jika disalahgunakan. Saya bukan bercakap mengenai kegunaannya untuk mempertahankan diri dari serangan, mahupun digunakan untuk tujuan yang membahayakan nyawa mahupun tubuh badan. Tetapi saya bercakap mengenai kemungkinan di saat kecemasan yang mana jauh lebih penting dari kegunaannya untuk mencederakan dan melumpuhkan musuh. Ia lebih kepada kecemasan yang benar-benar memerlukannya.

Rescue Knife ini biasanya terbina atas beberapa asas yang mana fungsinya sangat bersesuaian untuk beberapa keadaan tertentu, yang benar-benar memerlukannya. Contohnya, ketajaman bilahnya itu boleh digunakan untuk memotong tali pinggang keledar ketika saat kita benar-benar perlu segera melepaskan diri dari ikatan dan bersegera keluar dari kenderaan -- contoh mudahnya, ketika kenderaan berpotensi untuk meletup dan terbakar. Jika tali pinggang anda tidak dapat ditanggalkan, maka jalan terbaik adalah memotong tali pinggang itu. Jika tiada benda tajam di sekitar anda, nampak tak betapa bergunanya pisau ini? Anda perlu keluar dari kenderaan anda dengan segera!

Pun begitu, di saat kecemasan seperti keadaan di atas, adalah tidak digalakkan untuk menggunakan bahagian bilahnya untuk memotong tali pinggang tersebut kerana ia mungkin membahayakan anda dengan cara lain dan juga untuk mengelakkan dari terpotong atau terhiris jari anda. Untuk itu, kebanyakan Rescue Knife ini dibina bersama fungsi lain untuk tujuan memotong tali pinggang keledar ini. Kebanyakan Rescue Knife akan terdapat sedikit bahagian atau lekukan di bahagian pemegangnya yang sedikit ke dalam agar tidak mudah mencederakan tangan si pemegangnya, atau ada sesetengahnya tiada lekukan tersebut tetapi mempunyai penutup ketika tidak digunakan. Bahagian ini lah yang boleh digunakan untuk memotong tali pinggang keledar ketika saat kecemasan tersebut. Fungsi ini juga boleh digunakan untuk memotong kabel yang terlilit pada kita, kerana kabel yang halus selalunya boleh membahayakan nyawa kerana ia boleh bertindak menghiris mana-mana bahagian pada badan kita. Agak mustahil untuk memutuskan kabel yang terlilit kukuh dengan hanya menggunakan tangan sahaja. Maka di saat ini, bahagian yang boleh digunakan untuk memotong tali pinggang keledar itu tadi boleh juga digunakan untuk memutuskan kabel ini.

Selain itu, kebiasaannya dan kebanyakannya, Rescue Knife memang dibina dengan sedikit ketulan atau benjolan di bahagian hulu pemegang pisau itu -- dibina dengan bahan yang keras dan kuat. Bahagian ini boleh digunakan untuk memecahkan cermin tingkap kenderaan anda di saat kecemasan (window punch), seperti contoh, jika keadaan anda tenggelam ke dalam kawasan air dalam seperti sungai, tasik, takungan air di empangan, lautan, dan sebagainya. Dalam keadaan ini anda perlu keluar segera dari kenderaan sebelum kenderaan anda pergi jauh lebih dalam, menuju ke dasar air. Untuk memecahkan cermin tingkap bukannya mudah. Dengan tangan kosong sahaja agak sukar dan boleh dianggap mustahil, terutama kepada mereka yang tidak cukup tenaga dan kekuatan untuk melakukannya. Dalam keadaan kalut begitu, sukar untuk mencari peralatan tertentu kerana memerlukan masa untuk berfikir apakah alatan yang benar-benar mampu pecahkan cermin tersebut. Maka jika Rescue Knife anda sentiasa berada berdekatan anda, pisau ini sangat-sangat berguna pada ketika ini. Tujuan utama benjolan pada Rescue Knife itu juga memang untuk tujuan itu.

Oleh itu, dapatkanlah sekurangnya sebilah Rescue Knife, dan letakkan berdekatan anda, ataupun tinggalkan sahaja di dalam dashboard anda. Ianya sangat berguna. Siapa boleh jangka apa akan berlaku pada masa hadapan? Siapa boleh jangka saat kecemasan tersebut? Fikirkanlah :)

Boleh jenguk koleksi Rescue Knife di The Shhhroom: Outdoor & Tactical